KATA Saidina Umar, sesiapa memelihara solat dan tetap
mengerjakannya bererti dia memelihara agamanya dan
sesiapa yang mensia-siakannya ia mensia-siakan
kewajipan agama yang lain.
Solat adalah tiang agama dan semulia-mulia rukun Islam
yang lima selepas dua kalimah syahadah. Tanpa solat
runtuh agama seseorang itu.
Jika diibaratkan dengan jasad manusia, kedudukannya
ialah kepala. Orang yang tidak berkepala tidak akan
hidup, demikian juga tidak akan hidup agama bagi orang
yang tidak mengerjakan solat.
Dalam kitab at-Tanwir, Sidi Ahmad bin Ata’illah
berkata: Solat amatlah besar kemuliaannya dan
keadaannya di sisi Allah amatlah berat. Kerana itu
Allah berfirman, maksudnya: “Sesungguhnya solat itu
mencegah perbuatan keji dan mungkar.”
Rasulullah s.a.w ketika ditanya mengenai amalan paling
mulia, katanya: “(Semulia-mulia amal) ialah solat yang
dikerjakan pada waktunya.”
Baginda juga bersabda maksudnya: “Orang yang
mengerjakan solat adalah ia bermunajat (mengadap dan
merayu) kepada Tuhannya.”
Perintah terhadap solat dan gesaan supaya
memeliharanya banyak dijelaskan dalam al-Quran. Sudah
pasti dengan perintah itu, tiada sesiapa dapat
menyangkal kewajipan mengerjakannya, walau dalam
keadaan apa sekalipun.
Antaranya terkandung dalam surah al-Baqarah,
maksudnya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap
dan sempurna pada waktunya) segala solat fardu,
khasnya solat Wusta (solat Asar) dan berdirilah kerana
Allah (dalam solat kamu) dengan taat dan khusyuk.”
(al-Baqarah: 238)
Solat lima waktu mesti dikerjakan setiap Muslim yang
cukup syaratnya, baik lelaki mahupun perempuan, tua
dan muda.
Tidak mampu berdiri kerana uzur, dikerjakan dalam
keadaan duduk dan jika tidak mampu lagi, dalam keadaan
baring, malah jika masih tidak mampu dengan isyarat.
Penegasan ini menunjukkan solat adalah perkara yang
besar, tidak boleh diringankan, jauh sekali
meninggalkannya.
Malah, solat juga adalah syiar yang membezakan antara
Muslim dan bukan Muslim. Syiar Islam dengan sendirinya
terpancar apabila umat Islam mengerjakan solat,
lebih-lebih lagi dengan solat berjemaah di masjid.
Kita harus berwaspada dengan sabda Nabi s.a.w
bermaksud: “Jaminan berbaik-baik di antara kita dengan
mereka yang mendakwa dirinya orang Islam ialah
mengerjakan solat. Oleh itu sesiapa yang tidak solat,
sesungguhnya termasuklah dia dalam hukum orang kafir.”
Al-Quran turut memberikan amaran terhadap mereka yang
meninggalkan solat, seperti dalam surah Maryam,
maksudnya: “Kemudian mereka (yang taat) digantikan
oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan solat serta
menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat), maka
mereka akan menghadapi azab di dalam neraka. Kecuali
orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal
soleh.” (Maryam: 59-60)
Ibn Abbas berkata, seperti yang disebutkan as-Syams
az-Zahabi dalam kitabnya al-Kabair: “Mencuaikan solat
yang tersebut dalam ayat ini bukan maknanya mereka
meninggalkan solat sama sekali, tetapi maksudnya,
mereka mentakhirkan (melengahkan) solat sehingga
keluar waktunya.”
Perkara itu dijelaskan Said bin Musayib, dengan
menyatakan: “Orang itu tidak solat Zuhur melainkan
selepas masuk waktu Asar (dan seterusnya mengenai
waktu lain).
Justeru, sesiapa yang mati dalam keadaan yang demikian
dan dia tidak bertaubat, balasan ditetapkan baginya
azab seksa di neraka.
“Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu dilalaikan
oleh (urusan) harta benda kamu dan anak pinak kamu
daripada mengingati Allah (dengan menjalankan
perintahnya) . Dan (ingatlah) sesiapa yang melakukan
demikian, mereka itulah orang yang rugi.”
(al-Munafiqun: 9)
Menurut sesetengah ahli tafsir, mengingati Allah
(zikir kepada Allah) di sini ialah solat lima waktu.
Sesiapa yang cuai kerana harta benda, anak pinak dan
segala urusan hidupnya, jadilah dia orang yang rugi.
Menjadi tanggungjawab bagi Muslim juga mengambil berat
terhadap ahli keluarganya, mengajar dan menyuruh
mereka mengerjakan solat, malah menasihati mereka
supaya sentiasa memelihara solat fardu yang lima.
“Dan perintahkanlah keluargamu mengerjakan solat dan
hendaklah engkau tekun sabar menunaikannya. …”
(Taha:132)
Nabi sendiri sentiasa mengambil berat dan mengawasi
keluarganya khusus berkaitan solat. Baginda dan
keluarga apabila menghadapi kesukaran, lazimnya
mengerjakan solat sebanyak-banyaknya.
Cara seperti ini juga sebenarnya menjadi amalan nabi
sebelum Baginda dan ia sewajarnya menjadi sunnah
ikutan kita kerana banyak kelebihannya, malah menjadi
sebab yang membawa rahmat, murah rezeki dan menolak
bala bencana.